Saturday, August 2, 2008

Darul Quran Bakal Menempa Sejarah

Berikut adalah petikan artikel yang disiarkan di Berita Harian bertarikh 2 Ogos 2008

Darul Quran jadi universiti tahfiz

Oleh Saufi Hamzah


CATAT SEJARAH: Darul Quran sasarkan 2011 dinaik taraf menjadi universiti.

Buat persiapan muncul institusi tersohor di Asia Tenggara

TAHUN 2011, Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bakal mencatat sejarah tersendiri dalam bidang pengajian tahfiz al-Quran bukan saja di Malaysia malah mungkin di Asia Tenggara apabila bakal dinaik taraf kepada kolej universiti.

Oleh itu, kerajaan dari semasa ke semasa berusaha untuk menambah kemudahan yang sedia ada bersesuaian dengan hasrat Jakim untuk menaik taraf Darul Quran.

Kerajaan sentiasa menyokong dan memberi kerjasama kepada program yang diatur Darul Quran ke arah memantapkan institusi tahfiz al-Quran, sama ada pada peringkat diploma mahupun sijil.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Darul Quran ke-17 berkata, kerajaan amat yakin dan optimis terhadap graduan institusi itu kerana mereka adalah sumber modal insan yang sangat berkualiti dan amat diperlukan oleh negara dalam memacu corak serta arah pembangunan negara pada masa akan datang.

"Sebagai menteri yang diamanahkan untuk memegang portfolio agama Islam di negara ini, saya suka menyebut kepada hadirin bahawa usaha murni kita dalam melahirkan anak bangsa yang berguna bukan usaha yang boleh dijalankan dengan sambil lewa," katanya.

Malah Ahmad Zahid berkata, graduan Darul Quran mampu menjadi Perdana Menteri, Menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara, 20 tahun dari sekarang.

INDAH: Darul Quran institusi utama lahirkan sumber modal insan.

Katanya, hasrat itu tidak mustahil kerana tahfiz berkebolehan memegang jawatan tinggi kerajaan selain berjaya sebagai profesional.

"Saya berharap mereka mengambil kursus profesional selepas tamat pengajian," katanya.

Ketika membuat kunjungan pertama ke Darul Quran pada Mei lalu, Ahmad Zahid berkata, beliau berhasrat untuk melihat institusi itu menjadi universiti tahfiz yang pertama di Asia Tenggara.

Beliau optimis, sekiranya Jakim khususnya Darul Quran bekerja keras dan penuh komitmen, cita-cita untuk melihat institusi itu menjadi sebuah universiti yang terunggul pasti akan menjadi kenyataan.

GAH: Kampus Darul Quran dipindahkan ke Kuala Kubu Bharu pada 1998.

Darul Quran mempunyai tiga jabatan iaitu Jabatan Pengajian al-Quran, Jabatan Pengajian Islam dan Jabatan Pengajian Bahasa. Apabila dinaik taraf nanti, tiga jabatan baru akan diwujudkan termasuk sunnah dan muamalat.

Darul Quran sejak penubuhannya mengalami beberapa perkembangan yang memberangsangkan. Ia yang ditubuhkan pada 1966 di Masjid Negara, pada waktu itu hanya bermula dengan lapan pelajar.

Institusi itu kemudian berpindah ke Kampung Baru dan seterusnya ke Pusat Islam dan diikuti Taman Tun Dr Ismail dan Sungai Semungkis, Ulu Langat bersesuaian dengan keperluan pada waktu itu.

Dengan adanya komitmen kerajaan untuk memperkasa institusi tahfiz al-Quran, maka Darul Quran diletakkan di bawah pentadbiran Jakim, kampus itu berpindah ke Kuala Kubu Bharu pada 1998 sehingga sekarang.

Selama ini, graduan tahfiz mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dalam konteks pembangunan negara yang bukan dinilai dari segi pembangunan fizikal semata-mata, malah turut dinilai dengan keupayaan rakyatnya dalam pembangunan rohani dan fizikal.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, kira-kira 900 pelajar yang sedang mengikuti pengajian pada peringkat diploma dijangka meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda apabila Darul Quran dinaik taraf.

"Tenaga pengajar digalakkan menyambung pelajaran pada peringkat sarjana dan doktor falsafah bagi meningkatkan kelayakan mereka setaraf kedudukan Darul Quran sebagai kolej universiti," katanya.

Sementara itu, Pengarah Darul Quran, Che Ibrahim Che Man, pula berkata graduan perlu menampilkan keperibadian sebagai seorang Hamlatul-Quran.

"Jadikan diri contoh masyarakat supaya dapat diikuti," katanya.

Penamat dan Permulaan


Menjadi seorang graduan tahfiz bukan suatu yang membanggakan bagi sesetengah orang.. Tiga tahun duduk di Darul Quran, dah macam-macam aku rasa. Pengalaman, cukup banyak..
Aku bukan dari sekolah agama sebelum ni. Latar belakang pendidikan aku bukan segah rakan-rakan yang mendapat pendidikan agama sedari kecil. Ada kawan aku yang kecilnya dibesarkan di Tadika PASTI atau Taska ABIM, kemudian sambung belajar di Sekolah Rendah Agama, sambung lagi di Sekolah Menengah aliran agama, tak kiralah SMKA atau Maahad dan sebagainya, ada jugak yang memang berasal dari sekolah pondok. Di Darul Quran, aku berpeluang bertemu dengan pelbagai orang dari pelbagai latar belakang dan ragam. different strokes for different people..

Dan aku pulak bukan dari sekolah agama. Dapat masuk Kelas Aliran Agama di sekolah menengah harian, adalah permulaan kepada segala-segalanya bagi aku. Masa kecil tak pernah pulak terbayang nak jadi hafiz al-Quran. Tapi sebab dapat masuk KAA, segalanya berubah, aku mula menyimpan cita-cita nak belajar agama. Masa Form 4, aku masuk KISAS Klang. Lepas sebulan(tak sampai pun.hehe), aku keluar dari sana dan masuk sekolah lama. Dan sekali lagi segalanya berubah. Cita-cita nak belajar agama tergendala. Bila dah Form 5, aku sekali lagi buat satu percubaan, ambil subjek Bahasa Arab dan Agama( Quran sunnah dan Syariah) untuk SPM. Belajar sendiri. Lepas SPM, aku apply DQ. and then, dapat, dan segalanya berubah..

Dan di DQ... macam-macam dah aku lalui. Bagi setengah orang, apa sangatlah yang ada di situ. Dan ramai juga yang langsung tak tahu Darul Quran tu ape. Persepsi orang aku tak peduli. Bagi aku, masuk DQ merupakan peluang untuk aku merasai hidup di sekolah agama dan asrama yang aku tak dapat nak lalui dahulu. Hidup di DQ sekurang-kurangnya dapat juga memberi gambaran awal dan persediaan untuk belajar di peringkat yang lebih tinggi, universiti..
Kat sini pun belajar macam IPTA lain jugak. Sistem diploma kan. Ada credit hour, ade CGPA. ade required lectures attendance, ade assignment, ade presentation, ade project paper, ade final exam, ade HEP( haha).. macam-macam ade. dan semua nilah yang menjadi rencah kehidupan di DQ.. Kalau nak dikatakan aku tak dapat apa-apa dari DQ, memang menipu namanya. Di sini, aku pelajari semua perkara yang perlu sebagai persediaan untuk sebuah permulaan baru..

Aku dah banyak dipandang rendah oleh orang lain. Bahkan selalu sangat rasanye aku dipandang rendah, kekadang rasa terhina. Benar, adakalanya semua tu kesilapan aku. Bermula dari episod keluar KISAS, dah macam-macam aku tempuh. Masuk DQ pulak, satu lagi cabaran buat aku. Pun dipandang rendah jugak. Keputusan aku untuk masuk DQ empat tahun dulu banyak ditentang dan tak lepas dari kata-kata orang. Keluarga sendiri mulanya tak yakin aku boleh buat. "Buat apa masuk DQ, guru tak cukup, kemudahan takde." "SPM bagus, buat ape masuk situ." "Darul Quran tu ape?" itu antara ucapan yang selalu didengari. Aku tak kisah. Mungkin masa di DQ pun, takde ape yang aku ubah. Aku pulak selalu balik, tiap-tiap minggu. Dan tindakan aku memang selalu dipandang rendah oleh orang lain( kekadang bukan orang lain pun, keluarga sendiri). Tak kisahlah...



Dan hari ni, keputusan aku untuk masuk DQ telah terbukti betul. Tindakan aku sambung Diploma dan tak pergi ke matrik atau USIM tiga tahun dulu, telah berhasil. Aku dah buktikan pada diri aku dan keluarga tentang kemampuan aku.Aku dah dapat diploma. Perjalanan yang aku mulai empat tahun dulu berakhir dengan kejayaan. Dan semua ni akhirnya melengkapkan latar belakang pendidikan agama aku. Kalau lepas ni aku tak sambung belajar agama pun, cita-cita belajar agama dah tercapai. Sekurang-kurangnya, kalau ada orang bertanya, ustaz mengaji mane? Ade jawapan yang boleh aku beri.. Darul Quran dah banyak ajar aku tentang hidup. Sepanjang jadi pelajar DQ, dah macam-macam mihnah dan tribulasi aku lalui. Terima kasih Darul Quran, untuk segalanya..

Darul Quran dah jadi sejarah buat aku. Aku pula adalah sebahagian dari sejarah Darul Quran. Darul Quran bukan tempat aku berakhir. Tapi sebuah permulaan untuk aku. Aku nak bermula semula. Dan penamat kepada pengajian tiga tahun aku di DQ ini, adalah suatu permulaan kepada perjalanan aku yang baru. Aku nak sambung belajar lagi. Itu impian aku sekarang. Matlamat hidup aku kini. None other. Tiada tujuan lain atau cita-cita lain dalam benak fikiran aku sekarang melainkan nak masuk universiti, nak sambung degree, kalau ade rezeki, hajatnye nak sambung UIA, insyaAllah. Aku berdoa mudah-mudahan impian aku ni tercapai..

Let's begin..again...

dunia yang sementara